Thursday, January 3, 2008

AL-QURAN MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI

AL-QURAN terbukti boleh mengubah sifat dan akhlak manusia daripada keji kepada terpuji apabila seseorang itu mengikuti ajaran kitab suci ini sepenuh hati.

Malah, Saiditina Aisyah mengakui Rasulullah s.a.w mempunyai akhlak sebagaimana al-Quran.


Justeru, bagi merealisasikan pembelajaran kalam Allah ini supaya turut dikuasai dan dihayati generasi muda, Majlis Khatam al-Quran Peringkat Sekolah Rendah Negeri Perak anjuran Jabatan Pelajaran Perak, diadakan di Grik, Perak baru-baru ini.

Program bertemakan ‘Al-Quran Dijunjung, Umat Disanjung’ dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Ia disertai 600 murid sekolah seluruh Perak termasuk 20 murid tahun dua dan tahun tiga di bawah Program Jawi, Quran, Arab dan Fardu ain (J-Qaf).

Turut hadir Pengarah Pelajaran Perak, Husin Harun, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Perak, Rosli Ibrahim dan Penyelia Agama PPD Hulu Perak, Kamarudin Abdul Salim.

Dr Zambry berkata, fenomena keruntuhan akhlak masa kini menjadi barah menakutkan dan jika tidak dibendung secara bijaksana, ia boleh meruntuhkan bangsa dan negara.

“Pelbagai bentuk kemungkaran yang dulunya begitu asing kepada kita seperti perlakuan seks bebas, dadah serta ketagihan pil khayal, penipuan, lumba haram malah pembunuhan kini semakin banyak berlaku.

“Pemikiran dan perasaan masyarakat Islam di negara kita kini semakin dihimpit dengan pelbagai krisis yang mencemarkan kesucian agama.

“Ini berpunca daripada sikap umat Islam yang mengabaikan perintah Allah,” katanya.

Seorang peserta khatam, Wan Muhammad Idzham Mohd Omar, 12, dari SK Haji Mahmud, Chemor, berkata program itu memberi semangat kepadanya untuk membaca al-Quran berterusan setiap hari.

“Program seperti ini patut diadakan bukan saja di peringkat negeri tetapi juga daerah dan sekolah kerana memberi semangat kepada murid membaca al-Quran,” katanya.

Afiqah Ramatullah Khan, 12, dari SK Raja Perempuan, Ipoh berkata, kewajipan belajar dan menghayati al-Quran tidak kira lelaki atau perempuan kerana ia menjadi fardu ain ke atas setiap Muslim yang mukallaf.

“Gejala sosial dalam masyarakat kerana mereka tidak memahami isi al-Quran,” katanya yang empat kali khatam al-Quran dan menjadi Naib Johan Hafazan Peringkat Kebangsaan tahun lalu.

Bagi Ahmad Saeidussakhi Ahmad Fadzli, 9, dari SK Seri Adika Raja, Grik ibu bapa sepatutnya memulakan mengajar anak mengenal al-Quran kerana mereka lebih rapat dan ada banyak masa bersama

No comments: