Thursday, June 12, 2008

Asal-usul dan sumber-sumber Injil Barnabas oleh John Gilchrist (Terjemahan kepada karya John Gilchrist yang bertajuk "Origins and Sources of the Gospel of Barnabas")

SATU ANALISIS MENGENAI INJIL BARNABAS

Walaupun dewasa ini, Injil Barnabas telah teredar luas ke dunia pengaruh Islam dalam pelbagai terjemahan, sebahagian besar kaum Muslim belum pernah melihat salinan kitab ini dengan mata sendiri. Akan tetapi, pengetahuan mengenai kuwujudannya agak meluas di kalangan Islam.


Sejak tahun 1973, terjemahan Injil Barnabas dalam Bahasa Inggeris oleh Lonsdale dan Laura Ragg telah dicetak semula oleh Begum Aisha Bawany Wakf di Pakistan dan sebilangan naskhah-naskhah yang dicetak semula ini telah diedar luas di dunia. Akan tetapi, kebanyakan kaum Muslim jahil mengenai kitab ini dan isi kandungannya.

Keadaan ini seperti kejahilan yang girang. Sudah terlalu lama, kaum Muslim telah diyakinkan bahawa kitab inilah yang mengandungi ajaran sebenar mengenai kehidupan dan ajaran Hazrat Isa. Kitab ini mendakwa bahawa Hazrat Isa bukan Anak Allah, tidak disalibkan, dan telah mengisyaratkan kedatangan Muhammad. Akibatnya, beberapa orang Muslim percaya bahawa inilah Injil yang sebenarnya diturunkan kepada Hazrat Isa. Sebaliknya, Injil Barnabas tidak menuntut dirinya sebagai Injil itu, tetapi membezakan dirinya dengan kitab yang diberikan kepada Hazrat Isa. Perenggan di bawah menunjukkan perbezaan yang amat nyata ini:

Malaikat Jibril mempersembahkan kepadanya sebuah kitab seolah-olah ianya satu cermin yang berkilauan, yang telah turun ke dalam hati Hazrat Isa, di mana dia berpengetahuan mengenai apa yang telah dilakukan dan dititahkan Allah. Sebarang apa yang telah ditakdirkan Allah, semuanya dijelaskan dan dibuka kepadanya; sambil dia berpesan kepada aku: ‘Percayalah, Barnabas, bahawa aku kenal setiap nabi dengan setiap wahyunya, kebanyakan yang aku berfirman mengenai kesemuanya telah datang dari kitab itu’. (Injil Barnabas, ms.9)
Orang Muslim lain berpendapat bahawa Injil Barnabas ialah "perjanjian asal" dan kaum Kristian telah menggantikannya dengan "Perjanjian Baru". Sikap begini menunjukkan sikap kejahilan yang nyata, bukan sahaja terhadap Injil Barnabas, malah juga kepada binaan isi kandungan Al-Kitab Kristian, iaitu Bible.

Oleh kerana kami yakin bahawa kejahilan adalah satu kejahatan - tidak kira betapa girangnya - dan ia adalah pembantu kepada kesilapan, kami berpendapat adalah wajib kami kemukakan fakta-fakta mengenai Injil Barnabas kepada kaum Muslim di mana-mana juga, dan tunjukkan bahawa kitab ini adalah hasil gubahan Zaman Pertengahan. Kaum Muslim patut mengaku sekaligus bahawa Injil Barnabas tidak ada apa-apa nilai sejarah pun dan harus menolaknya sebagai catatan benar mengenai kehidupan dan ajaran Nabi Hazrat Isa demi kebenaran.

Buku kecil ini tidak bertujuan untuk menambah kepada kajian-kajian yang dikendalikan oleh golongan terpelajar di dalam dunia Kristian dari segi pengetahuan latar belakang dan asal-usul Injil Barnabas. Untuk kegiatan tersebut, kami amat terhutang budi kepada keluarga Raggs yang menjadi orang pertama menterjemah Injil Barnabas dan juga kepada Gairdner, Jomier serta Slomp yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam nama kebenaran membawa kepada kita bukti-bukti teguh mengenai kepalsuan Injil Barnabas. Akan tetapi, kami berusaha menyampaikan di sini ringkasan jelas kajian-kajian itu supaya saudara-saudari Muslim kami dapat menyaksikan bahawa Injil Barnabas itu adalah satu kepalsuan yang telah menjadi red herring (iaitu perbuatan menimbul perkara yang tidak ada kaitannya untuk mengalihkan perhatian daripada pokok perbincangan) kepada kegiatan apologetik Kristian-Muslim moden.
Kami berniat menyampaikan kepada komuniti Muslim walau dalam cara yang kecil, buah hasil kajian-kajian ini kerana kami benar-benar percaya bahawa adalah perkara yang menyedihkan bagi sesiapa yang menerima kitab ini sebagai satu kesaksian benar mengenai kehidupan Kristus Yesus.

Oleh kerana kami percaya bahawa tidak ada pencinta kebenaran yang mahu tertipu buat selamanya, kami akan membuka rahsia asal-usul dan punca Injil Barnabas kepada pembaca-pembaca Muslim. Kami percaya pembaca-pembaca akan menggunakan buku kecil ini dengan hasrat tulen mahu mengetahui mengenai Injil Barnabas dari segi keaslian dan zaman gubahannya - dan akan tiba kepada satu kesimpulan yang adil daripada bukti-bukti yang disediakan di dalam lembaran-lembaran buku ini

No comments: