Firman Allah: Wahai sekelian manusia, makanlah daripada apa yang halal lagi baik dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan...(al-Baqarah: 168)
Masyarakat Islam perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak tertipu dan terpedaya dengan penggunaan sijil halal palsu pada produk makanan tidak halal serta istilah mengelirukan oleh pengusaha makanan tidak bertanggungjawab.
Demikian pesanan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Tun Sakaran yang bertanggungjawab ke atas isu agama Sabah.
Beliau berkata, kerajaan amat prihatin akan isu produk makanan dan gunaan halal yang kini menjadi perhatian khususnya masyarakat Islam.
Katanya, bagi mengatasi masalah itu kerajaan memberikan tanggungjawab kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memainkan peranan utama dalam hal ehwal produk makanan serta barangan gunaan halal.
“Antara tugas penting berkaitan hal ehwal produk halal mengeluarkan sijil dan logo halal menjadi bahan pensijilan standard halal, mentadbir standard halal, memantau dan menguatkuasa pengeluaran serta penjualan produk halal.
“Sebelum sijil halal dikeluarkan setiap produk makanan dan gunaan halal perlu memenuhi standard yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena merasmikan Seminar Pensijilan Halal Kepada Pengusaha Makanan Negeri Sabah 2007 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, baru-baru ini.
Hadir sama ialah Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Paimuzi Yahya, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.
Seminar sehari anjuran Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama JHEAINS itu disertai lebih 200 orang peserta daripada syarikat-syarikat swasta, perseorangan dan perhotelan.
Nasir menjelaskan, kerajaan juga memperkenalkan standard yang dibangunkan oleh kerajaan dikenali sebagai standard halal Malaysia (MS1500:2004) dengan garis panduan diperkenalkan ISO/IEC GUIDE 65 serta manual prosedur pensijilan halal Malaysia bagi rujukan pihak pengeluar produk halal.
Menurutnya lagi, pengeluar yang mendapat pengesahan sijil halal perlu memenuhi sepenuhnya standard halal yang telah ditetapkan sepanjang masa bagi memastikan tahap keyakinan pengguna terhadap produk halal sentiasa berterusan.
Seminar itu antara lain bertujuan memberi maklumat kepada pengusaha makanan tentang pentingnya menggunakan barangan halal dalam kehidupan.
Ia juga bertujuan mewujudkan perkongsian maklumat antara agensi serta jabatan-jabatan yang terlibat.
Sementara itu, di Semenanjung, sebanyak 11 hotel telah menerima sijil halal Jakim. Ada beberapa lagi yang bakal menerimanya di mana mereka kini sedang membuat pengubahsuaian di dapur utama masing-masing.
Thursday, January 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment